Friday 20 May 2011

Sekitar Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Johor 2011

Kulaijaya - Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Johor telah berlangsung pada hari Khamis, 19 Mei 2011 bertempat di Dewan Raya Putra, Bandar Putra, Kulaijaya, Johor. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YAB Dato' Hj Abd Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor. Selain itu, kehadiran barisan kepimpinan tertinggi negeri telah menjadikan acara tersebut sebagai pencatat sejarahnya yang tersendiri.
Petikan Utusan Malaysia Online:

Jangan sekadar makan gaji

ABDUL Ghani Othman (kanan) dan Mohd. Nor A. Ghani (kiri) bersama Jamian Jaffar (dua dari kiri) dan Zakaria A. Syukor di Dewan Putra, Kulaijaya, Johor, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

KULAIJAYA 19 Mei – Pengetua di negeri ini diingatkan supaya tidak mempunyai mentaliti makan gaji sahaja sebaliknya berusaha meningkatkan pencapaian sekolah masing-masing.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, mereka mempunyai peranan dan tanggungjawab yang amat besar dan jawatan yang diberikan itu adalah satu amanah dan ibadah yang perlu dilaksana dengan ikhlas tanpa mengenal penat.
“Mereka mempunyai peranan penting untuk menggerakkan para guru supaya menghasilkan pelajar yang cemerlang dan bermutu. Pelaksanaan tanggungjawab dan kerja tidak seharusnya disempurnakan hanya kerana ia dipantau atau arahan Kementerian Pelajaran.
“Sebaliknya ia perlu terbit atas rasa kesedaran dan keinsafan untuk membangunkan generasi masa depan,” katanya pada sidang akhbar selepas sambutan Hari Guru peringkat Johor di Dewan Raya Putra, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pelajaran Johor, Mohd. Nor A. Ghani dan Timbalannya, Md. Hasidin Zaini.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kerisauan terhadap beberapa sekolah yang tidak mengendahkan soal pembangunan jati diri yang berasaskan budaya dan agama.
“Kalau kita dapat melahirkan generasi berilmu sekalipun tetapi tanpa jati diri, masyarakat dan negara akan tetap pincang,” tegasnya.
Sementara itu, Tokoh Pendidikan Negeri Johor 2011, Zakaria A. Syukor, 59, berkata, golongan pendidik masa kini perlu mengikut peredaran semasa supaya kekal relevan dan tidak ketinggalan.
“Jika guru-guru gagal berbuat demikian, mereka akan ketinggalan dengan pelajar-pelajar lebih terkehadapan dengan pelbagai sumber maklumat dan teknologi masa kini,” kata bekas Pengarah Institut Perguruan Temenggong Ibrahim yang bersara pada 2008.
Tokoh Guru Negeri Johor 2011, Jamian Jaffar, 59, pula menggesa murid dan pelajar agar memanfaatkan kemudahan teknologi untuk meningkatkan pencapaian akademik.
Katanya yang bersara sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Johor pada 2008, generasi masa kini amat bertuah dan kemudahan itu tidak seharusnya disia-siakan.
-Utusan Malaysia Online

Warga Pejabat Pelajaran Daerah Kulaijaya merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus dalam memastikan acara tersebut berjaya. Para penyumbang, Pengetua dan Guru Besar, guru-guru, murid-murid dan peserta pameran telah memainkan peranan besar dalam menjayakan majlis ini. Kepada pasukan multimedia PKG Daerah Kulaijaya yang memainkan peranan penting dalam kelancaran acara juga amat kami hargai.
Terima kasih. Jasa anda kami hargai.
SUMBER BERITA: LAMAN WEB RASMI PEJABAT PELAJARAN DAERAH, KULAIJAYA